Laporan : Photocamp Art By Teens
Pada 18 Disember - 21 Disember 2014, buat pertama kalinya Saiful Nang Academy dengan jayanya telah menganjurkan program Photocamp Art By Teens (ABT) yang diadakan di Kem Nur Sungai Merab, Bangi. Program ini mendapat sokongan penuh daripada pihak Multimedia Development Corporation atau lebih dikenali sebagai MDeC.
Program Photocamp ABT ini telah disertai 32 orang peserta berumur lingkungan 10 tahun hingga 17 tahun. Yang menarik, program ini juga menerima peserta mild autism dan disklesia dan bercampur dengan peserta biasa. Satu-satunya program kem cuti sekolah berbentuk kemahiran yang memberikan kemahiran asas fotografi kepada para peserta di samping aspek kerohanian juga ditekankan dalam kem tersebut.
Ikuti laporan penuh dan bergambar seperti di bawah.
18 Disember 2014
Program bermula dengan pendaftaran para peserta pada jam 9.30 pagi. Selepas itu, satu taklimat perjalanan program Photocamp disampaikan oleh Coach Syibli Fakih kepada para ibu bapa dan peserta. Setelah selesai taklimat satu jamuan ringan disediakan dan program diteruskan dengan sesi ice breaking. Dalam sesi ini, peserta masih lagi malu-malu untuk memperkenalkan rakan di sebelah mereka.
Program berhenti jam 12.30 tengahari untuk makan tengahari dan solat Zohor secara berjemaah. Jam 2.00 petang, program diteruskan dengan sesi kelas yang pertama iaitu Kelas Asas Fotografi yang dikendalikan oleh Coach Rahim dan Coach Mus'ab. Seterusnya peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan untuk tugasan assigment yang pertama daripada pembelajaran kelas asas tersebut. Setiap kumpulan dibantu oleh coach personal mereka dalam membantu menghasilkan hasil kerja yang baik. Kumpulan juga dibahagikan mengikut tahap kemahiran peserta. Untuk sesi kelas petang tersebut, rata-rata peserta yang pertama kali menggunakan mode Manual memberikan maklumbalas teruja dengan pembelajaran pengawalan kamera dan yang telah mempunyai sedikit kemahiran asas membuat ulangkaji semula kemahiran mereka. Dengan bantuan coach, mereka dapat memahami pengawalan kamera menggunakan mode Manual.
Untuk slot tazkirah Maghrib telah disampaikan oleh Ustaz Shauqi daripada Rumah Pengasih Warga Prihatin yang memberikan tazkirah mengenai perkara asas dalam Islam dan menghormati ibu bapa.
Pada sebelah malam, para peserta telah mempersembahkan hasil kerja mereka dalam sesi kritik gambar. Setiap gambar peserta dikehendaki mempersembahkan 2 keping gambar terbaik daripada assignment yang diberikan sebelah petang.
19 Disember 2014
Seawal jam 5.00 pagi peserta telah pun dikejutkan untuk solat Subuh berjemaah. Tazkirah subuh telah disampaikan oleh coach Syibli yang menekankan mengenai berkat ibu bapa. Seterusnya sebelum sarapan, peserta beriadah pagi dengan sesi senaman diketuai oleh coach Mus'ab.
Program diteruskan dengan kelas Seni Melihat dan Pencahayaan yang dikendalikan oleh coach Syibli. Setelah minum pagi, peserta telah diberikan tugasan yang kedua mengikut apa yang telah diajarkan di dalam kelas Seni Melihat dan Pencahayaan. Tugasan yang diberikan mengikut kumpulan dan dibimbing oleh coach kumpulan masing-masing.
Program berehat sebentar untuk makan tengahari dan peserta lelaki bersiap untuk menunaikan solat jumaat di masjid berdekatan bersama coach. Seterusnya, di sebelah petang program dimulakan dengan sesi kritik gambar bagi hasil tugasan kedua. Maklumbalas daripada peserta, mereka mula seronok mengambil gambar kerana sudah tahu elemen-elemen yang perlu ada dalam sebuah gambar. Manakala bagi peserta yang ditegur oleh coach hasil gambar kurang memuaskan, berusaha untuk membaiki lagi hasil kerja mereka. Nampaknya pada hari kedua ini, peserta telah mula menguasai dunia fotografi dan hasil kerja meningkat dari hari pertama, coach telah memberikan tugasan seterusnya untuk belajar mengambil foto esei di pekan Kajang.
Jam 5.00 petang peserta bergerak ke pekan Kajang untuk tugasan mengambil gambar foto esei. Rata-rata peserta agak kekok sedikit apabila mengambil gambar di luar namun dengan bimbingan coach kumpulan mereka dapat mempelajari satu ilmu baru iaitu mencari gambar yang bercerita. Usai sudah tugasan, berkumpul di masjid pekan Kajang untuk solat maghrib sebelum pulang ke kem.
Di sebelah malam, setiap kumpulan membentangkan hasil kerja masing-masing. Secara keseluruhan, peserta telah memahami apa itu foto esei cuma perlu dibaiki dari segi kreativiti mengambil gambar dan komposisi yang menarik. Maklumbalas peserta, mereka seronok dengan tugasan di luar walaupun pada mulanya ada yang tiba-tiba "blur" apa nak buat, namun dengan bimbingan dan tunjuk ajar coach mereka dapat mempelajari cara mengambil photo esei.
21 Disember 2014
Peserta dikejutkan pada jam 4.00 pagi untuk bersiap ke Putrajaya. Pagi ini sesi mengambil gambar pemandangan "sunrise" di Putrajaya. Sebelum ke destinasi mengambil gambar, singgah di Masjid Putra untuk solat subuh berjemaah di sana.
Jam 6.30 pagi peserta telah dibawa ke taman tasik berhadapan dengan Masjid Putra untuk sesi outing mengambil gambar pemandangan matahari naik. Sebelum sesi praktikal dijalankan, coach Syibli memberikan taklimat bagaimana untuk mendapatkan gambar yang menarik dengan cahaya pagi. Kebanyakan peserta yang meminati genre fotografi pemandangan sangat teruja dengan outing ini. Maklumbalas daripada peserta, mereka sangat teruja apabila dapat mengambil gambar yang cantik dan dapat merakamkan pemandangan masjid putra seperti jurugambar lain. Dapat lihat daripada outing ini, ramai peserta telah menggunakan elemen seni melihat untuk mendapatkan gambar dari perspektif yang berbeza.
Jam 8.30 pagi, peserta pulang ke Kem Nur Sungai Merab untuk sesi kelas seterusnya dan sarapan pagi. Seterusnya pada pukul 10.00 pagi, coach Syibli mengajar teknik pemprosesan gambar dengan menggunakan aplikasi Adobe Lightroom. Kebanyakan peserta mengakui ini kali pertama mereka mempelajari teknik pemprosesan gambar dan mendapati aplikasi Adobe Lightroom sangat mudah untuk difahami dan mereka mula seronok mengedit gambar yang diambil pada awal pagi tadi.
Sebelah petang, coach Zaidi mengajar asas penggunaan speedlight. Peserta telah didedahkan dengan penggunaan asas speedlight dan penghasilan gambar menggunakan cahaya speedlight. Walaupun tidak ramai peserta membawa speedlight, mereka seronok dengan pengetahuan yang diberikan dan berkongsi speedlight mengikut jenama kamera mereka.
Seterusnya, tugasan terakhir mereka pada petang ini adalah menghasilkan sebuah photo esei sekali lagi di pekan Kajang. Kali ini kumpulan dipecahkan kepada 4 orang dan dibantu oleh urusetia yang juga bekas peserta program SNAP dalam membimbing peserta mendapatkan gambar yang terbaik. Kali ini peserta menunjukkan kesungguhan mereka untuk menghasilkan gambar terbaik. Ini dapat dilihat dengan keberanian peserta mencuba berkomunikasi sendiri tanpa bantuan coach/ urusetia untuk mendapatkan kebenaran mengambil gambar di kedai yang mereka pilih. Mereka juga mengatakan untuk menunjukkan hasil terbaik kepada ibu ayah mereka daripada kem ini dengan mencuba mendapatkan gambar melalui angle yang terbaik, kreativiti yang tinggi dan keyakinan dalam mencari peluang.
Setelah tugasan selesai, peserta berkumpul di masjid kajang untuk solat maghrib sebelum pulang ke kem Nur Sungai Merab. Sesi malam ini adalah kritikan terakhir daripada coach sebelum pemilihan gambar terbaik bagi peserta untuk pameran hasil kerja peserta pada keesokan harinya. Malam tersebut, ramai yang mampu memberikan gambar yang terbaik dan paling terkesan di hati apabila salah seorang peserta memberikan mesej kepada ibunya yang dia sangat gembira mengikuti program ini dan rasa sedih untuk mengakhiri program dan seperti rasa tak nak balik rumah untuk terus ikut program ini. (Untuk makluman, pihak kami sentiasa menghantar laporan terkini perkembangan peserta kepada ibu bapa sepanjang perjalanan program). Ada juga memberikan maklumbalas sudah berani tampil ke hadapan untuk bercakap kerana sebelum ini takut untuk ke hadapan tetapi setelah 3 hari di kem berani untuk tampil di hadapan orang lain untuk mempersembahkan hasil kerja masing-masing.
22 Disember 2014
Hari ini hari terakhir untuk program Photocamp ABT di kem Nur Sungai Merab. Seawal pagi peserta telah bangun untuk solat subuh berjemaah dan sesi tazkirah daripada coach Syibli. Program pada pagi hari terakhir ini adalah peserta mempersembahkan hasil karya mereka di hadapan ibu bapa dan penjaga mereka. Alhamdulillah berkat berkampung dengan restu ibu bapa, dapat dilihat perubahan peserta dari hari pertama mengambil gambar yang biasa dan hari terakhir mereka berjaya mempersembahkan hasil yang mengkagumkan di hadapan ibu bapa mereka.
Gambar - gambar terbaik peserta juga di cetak dan pameran mini di lakukan pada pagi itu. Ibu bapa dan para peserta sangat teruja melihat hasil kerja anak-anak mereka. Ramai di antara ibu bapa peserta yang terkejut dengan keupayaan anak-anak mereka.
Secara keseluruhannya, ibu bapa memberikan maklumbalas bahawa program ini sangat bagus dan berjaya menerapkan kemahiran dalam anak-anak mereka. Boleh lihat maklumbalas ibu bapa berikan melalui whatsapps group program.
0 comments